Monday, February 21, 2011

Adakah Mat Indera seorang komunis?

Ketika melaporkan serangan yang diketuai oleh Mat Indera ke atas balai polis Bukit Kepong pada zaman darurat dahulu, akhbar Melayu melabelkan penyerang itu sebagai "penjahat", sementara akhbar Inggeris pula melabelkan mereka sebagai "bandit".

Akan tetapi, kita tahu serangan itu dilakukan oleh pasukan gerila yang mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Malaya (PKM), malah mereka boleh dikatakan bahagian tentera PKM.

Oleh itu, adakah Mat Indera seorang komunis?

Untuk menjawab soalan ini, kita barangkali perlu meneliti dua perkara berikut:

1) Adakah Mat Indera seorang yang berpegang kepada ideologi komunis? Saya rasa kita tidak pasti, dan mungkin tidak ada sesiapa yang boleh menjawab soalan ini.

2) Adakah Mat Indera seorang ahli parti komunis (PKM)? Saya masih mencari jawapan terhadap soalan ini. Kemungkinannya ada, tapi belum pasti.

Bagaimanapun, yang pasti Mat Indera adalah seorang pemimpin gerila yang merupakan bahagian tentera PKM, dan tentunya berada di bawah pimpinan dan arahan PKM.

Jadi sama ada dia seorang komunis atau tidak, barangkali masih memerlukan penyelidikan dan pembuktian.

Keluarga beliau barangkali tidak bersetuju beliau dilabelkan sebagai seorang komunis. Apatah lagi beliau adalah seorang yang mempunyai pendidikan agama dan pernah pula menjadi guru agama.

Ada pula cerita yang menyatakan bahawa beliau telah diperdayakan oleh orang Cina, dan sebab itulah beliau menyertai pasukan gerila yang berada di bawah arahan PKM itu.

Semua ini barangkali masih memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment