Dari cerita lisan yang tersebar pada masa yang lalu, Mat Indera dikatakan adalah salah seorang yang mempunyai "hubungan" dengan Bintang Tiga, dan sesetengah pihak melabelkan beliau sebagai tali barut Bintang Tiga.
Walaupun belum ada kepastian tentang hal ini, saya ingin menafsirkan bahawa pada zaman Jepun (1942-1945) Mat Indera mungkin menyertai gerakan MPAJA, iaitu satu gerakan yang tujuan utamanya adalah untuk menentang Jepun.
Apabila Jepun kalah pada tahun 1945, satu bahagian daripada MPAJA , yang lebih dikenali sebagai Bintang Tiga, cuba mengambil alih pemerintahan Malaya selama 14 hari. Dalam tempoh itu anggota Bintang Tiga , yang umumnya terdiri daripada orang Cina, telah membunuh ramai orang Melayu yang sebelumnya mereka anggap bekerjasama dengan Jepun. Ini membawa kepada timbulnya perang Melayu-Cina di pelbagai tempat, yang paling dahsyat barangkali di Batu Pahat dan Sungai Manik.
Dalam hubungan ini, yang tidak jelas adalah bagaimanakah sikap dan tindakan Mat Indera ketika timbulnya perang Melayu-Cina itu. Adakah dia berpihak di sebelah Bintang Tiga atau bagaimana?
Pemimpin Melayu PKM di tempat lain yang ada hubungan dengan MPAJA/Bintang Tiga, seperti Abdullah C.D dan Rashid Maidin di Perak dan Kamarulzaman Teh di Pahang cuba memainkan peranan sebagai pendamai, atau cuba meleraikan perkelahian antara orang Melayu dengan orang Cina.
Kamarulzaman Teh malah memainkan peranan sebagai penyelamat. Dia banyak menyelamatkan orang Melayu daripada dibunuh oleh Bintang Tiga, kerana sebelumnya dia pun salah seorang penyokong MPAJA dan orang kuat MPAJA.
Dalam hal ini, saya belum jelas dan belum ada maklumat tentang sikap, pendirian dan tindakan Mat Indera pada masa Bintang Tiga memerintah dalam masa 14 hari itu.
Adakah misalnya dia cuba melindungi orang Melayu daripada dibunuh oleh Bintang Tiga, lepas tangan atau tidak mampu berbuat apa-apa?
Atau adakah bukti yang menunjukkan dia telah cuba menolong orang Melayu supaya tidak dibunuh oleh Bintang Tiga?
Mungkin orang yang lebih tahu, atau ada maklumat tentang hal ini, boleh memberi maklumat dan berkongsi maklumat dengan kita.
No comments:
Post a Comment